Maksud perkataan MELANKOLI
Melankoli bermaksud keadaan murung, sedih dan hiba.
Analisis Karya
Cerpen ini amat istimewa kerana menggunakan teknik imbas muka dan imaginasi pengarang. Berdasarkan pengetahuan penulis, beliau cuba membayangkan keadaan kematian dan hidup selepas mati. Penulis memikirkan untung nasib diri dan manusia yang lain apabila tamatnya kehidupan di dunia. Imaginasi penulis dibayangkan melalui beberapa maklumat ilmu agama beliau terutama daripada sumber al-Quran dan Hadis nabi.
Imaginasi pengarang sangat tinggi dan dipetik dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Kematian bagi penulis diumpamakan seperti orang yang sedang tidur. Roh manusia keluar dan berlegar-legar. Di bayangkan tentang kesusahan berada di alam kubur yang gelap, sempit dan terhimpit. Roh pula melayang-layang dan dapat melihat seluruh peristiwa dalam dunia. Terbayang kisah hidup sejak kecil, membesar, dewasa dan tua. Terbayang godaan-godaan syaitan yang sentiasa memusuhi manusia. Keseluruhan cerita diimaginasikan oleh pengarang sedemikian rupa untuk mengajak pembaca sedar tentang hakikat diri sendiri dan merasakan situasi yang diceritakan.
Bahasa yang digunakan pula amat halus dan indah. Cerpen bermula dengan catatan seolah-olah rintihan seseorang yang sudah berada di alam lain. Penulisan diselangi dengan sumber-sumber ilmu termasuk kitab al-Quran dan Hadis. Malah penulis menyelitkan puisi seperti pantun dan bahasa puitis termasuk tulisan Chairil Anwar. Terdapat juga sumber-sumber daripada kitab muktabar seperti kitab Riadus Salihin dan kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman.
Keseluruhan penceritaan cerpen ini banyak menggunakan kaedah pemerian. Pengarang seolah menjadi pencerita secara naratif dalam keseluruhan peristiwa yang beliau olah. Pengarang mengolah cerita secara terus seolah-olah dia serba tahu. Oleh itu cerpen ini kurang menggunakan teknik dialog. Penulis hanya menggunakan teknik dialogt ketika membuat imbas kembali kisah hidupnya membeli katil di Jalan Kerawang Indonesia.
Cerpen ini juga tidak menggunakan perwatakan yang banyak. Keseluruhan cerita hanya mengisahkan tentang "aku" yang merujuk kepada diri penulis. "Aku" telah digambarkan telah melalui pelbagai proses kehidupan dan pelbagai kisah hidup yang mungkin beliau hadapi. Seolah-olah "aku" sedang berada di satu daerah yang asing dan beliau cuba menggambarkan pengalamannya berada di daerah tersebut. Segala pengalaman yang beliau lalui dikaitkan pula dengan pengajaran hidup serta menjelaskan iktibar yang boleh diambil daripadanya.
Cerpen ini lebih mementingkan mesej yang ingin disampaikan. Aspek-aspek seperti plot dan perwatakkan tidak terlalu dipentingkan. Apa yang penting bagi pengarang adalah sejauhmana pembaca dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada cerita berkenaan. Banyak pengajaran agama yang cuba disampaikan kepada khalayak. Walaupun tidak ada plot yang menarik, namun rasa ingin tahun pembaca dibina oleh pengarang sejak mula cerpen ini ditulis. Pembaca akan senti
Pembaca tertanya-tanya tentang latar penceritaan yang terdapat di dalamnya. Penulis tidak menyebut latar tempat yang khusus. Cerita berkenaan hanya berkaitan dengan imaginasi pengarang semata-mata. Seolah-olah cerita pengarang tidak berpijak di bumi nyata.
Tema
Cerpen ini bertemakan keagamaan. Menggambarkan kehidupan selepas mati. Sebelum kematian datang, manusia perlu membuat persediaan yang rapi. Manusia mempunyai pilihan samada memilih jalan syurga atau jalan ke neraka. Amalan baik dan ibadat kepada pencipta adalah perlu seperti solat dan rukun Islam yang lain. Malah penulis mengajak manusia supaya bersedekah dan mengamalkan cara hidup Rasulullah.Penulis sedar asal usul dirinya. Tidak ada yang istimewa tentang dirinya kerana dia adalah manusia biasa.Lalu penulis membayangkan kehidupan selepas mati. Rohnya sedang berada di suatu daerah asing yang tidak diketahuinya. Lalu beliau tertidur lena.
Persoalan
- Sentiasa mengingati dan mendoakan ibu bapa.
- Perlunya bersedia menghadapi kematian.
- Yakin tentang siksa di Padang Mahsyar.
- Menyedari asal usul diri sendiri.
- Menyedari masalah yang menimpa manusia di seluruh dunia.
- Insaf akan kesusahan orang lain- Kisah anak perempuan kecil dan miskin mencari sisa-sisa makanan di kuburan.
Perwatakan "Aku"
Latarbelakang "Aku" dalam cerpen ini menunjukkan bahawa beliau seorang perempuan yang hidup bersendirian. Beliau telah melalui liku-liku kehidupan sejak kedil sehingga dewasa. Beliau pernah berkahwin dan mempunyai anak. "Aku" adalah seorang bekas pensyarah dan telah bersara. "Aku" digambarkan begitu taat kepada perintah Allah. Seorang yang kuat beribadat seperti sembahyang malam dan sentiasa memikirkan masalah umat manusia di seluruh dunia terutamanya umat Islam.
No comments:
Post a Comment