Soalan Contoh
Program 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak memberikan manfaat kepada murid.
Huraikan manfaat tersebut kepada murid.
Rangka Karangan
Pendahuluan
- Program 1Murid 1Sukan - pembangunan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah
Isi
i. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah - mengelakkan gejala negatif
ii. Murid yang menceburkan diri secara serius dalam bidang sukan dapat mengharumkan nama sekolah dan negara
iii. Mewujudkan budaya yang sihat - suka bersukan untuk kesihatan
iv. Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan - setiap murid berpeluang
v. Memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum
Penutup
- Program ini banyak manfaatnya - perlu disokong oleh semua pihak
Karangan Contoh
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadiserampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan di bawah ini.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah aktiviti sukan tersebut dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah.Selain itu, dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan, mereka dapat mengelakkan gejala negatif daripada mempengaruhi mereka. Hal ini demikian kerana, kebanyakan murid yang terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat selalunya dikaitkan dengan tindakan mereka yang suka membuang masa dengan sia-sia tanpa melakukan sesuatu aktiviti yang bermanfaat kepada mereka.
Dasar ini membolehkan murid yang menceburkan diri secara serius dalam bidang sukan itu, dapat mengharumkan nama sekolah dan negara. Mereka dapat menyumbangkan bakat dan kemahiran mereka untuk mewakili sekolah dalam acara-acara tertentu dalam bidang sukan ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sebagai contohnya, mereka boleh menjadi pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka dapat menunjukkan bakat mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara.
Manfaat lain program ini dapat mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan murid sekolah. Seterusnya, murid-murid yang sihat ini menjadikan mereka cerdas dalam pelajaran. Perkara ini akan turut menyuburkan budaya suka bersukan untuk kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Dengan badan yang sihat, murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Hal ini demikian kerana, otak yang cerdas itu ada pada badan yang sihat.
Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan murid dalam sukan. Hal ini demikian kerana, setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang tidak berpeluang atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan yang diminatinya. Jadi, pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada dan mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan dengan sukan.
Melalui dasar ini, usaha kerajaan untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum akan menjadi lebih mudah. Dengan melibatkan diri dalam sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan mempelajari dan menghayati semangat kesukaan semasa dalam permainan. Selain itu, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum. Seterusnya, perkara ini akan membantu kerajaan untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini.
Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu dalam sistem pendidikan yang banyak manfaatnya. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni kerajaan ini. Sekiranya usaha ini tidak digerakkan dengan betul dan sempurna, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama dalam hal ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap lebih banyak ahli sukan yang bertaraf dunia akan dilahirkan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment