Tuesday, July 15, 2014

HIKAYAT HANG TUAH KE BENUA KELING

 SIPNOSIS
Kisna Rayan (raja benua Keling) menyambut surat daripada Sultan Melaka (Sang Maniaka). Hang Tuah selaku utusan raja telah sampai di negeri Bijaya Nagaram. Latar tempat negeri berkenaan sangat indah dan unik. Surat raja Melaka sangat dimuliakan kerana raja Melaka keturunan melayu. Surat sultan pun dibaca dan Kisna Rayan pun bertanya tentang utusan raja yang bernama Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah yang berkebolehan dalam bahasa Nagaram telah menjawab dengan baik. Hang tuah pernah belajar bahasa keling ketika berada di majapahit dengan seorang lebai.  Semua orang kagum dengan kebolehan Hang Tuah. Hang Tuah telah mendapat layanan yang sangat istimewa daripada raja benua Keling itu. Hang Tuah telah dijamu dan dijadikan anak angkat. Kemudian Hang Tuah telah diminta mengubati permaisuri raja yang mandul supaya mendapat anak. Hasrat itu telah di tunaikan oleh Hang tuah dengan membuat ubat yang rupanya seperti "madat". Seterusnya beliau dicabar untuk menaiki kuda teji dan beliau telah berjaya menunggang kuda tersebut.
Sikap dan watak Hang Tuah sangat memikat hati Kisna Rayan dan berhajat ingin menjadikan Hang Tuah sebagai hulubalangnya.Ketika Nala Sang Guna ingin menjamu sultan, didapati kayu untuk memasak tiada kerana Kisna Rayan menghalang rakyatnya menjual kayu. Hang Tuah telah menyelesaikan maslah tersebut dengan mencadangkan agar kain dijadikan bahan api.
Kemudian Hang Tuah menunjukkan kebolehannya yang luarbiasa. Beliau telah menunjukkan kepada raja keling kemampuannya menanam benih pokok yang cepat membesar dan berbuah, masak dan boleh dimakan oleh raja keling itu. Selepas baginda makan buah masak itu, pokok kayu itu pun ghaib.
Seterusnya Hang Tuah telah dititahkan ke benua China oleh Kisna Rayan. Setelah dua bulan perjalanan, Hang Tuah pun sampai dan berlabuh di tempat Feringgi berlabuh. Wujud sedikit pertelingkahan antara utusan benua keling dengan Feringgi. Hang Tuah dan utusan lain disambut dan surat di arak. Kebijaksanaan Hang Tuah terserlah apabila berjaya membuat muslihat untuk melihat raja China yang duduk di dalam mulut naga emas bersisik.

Maksud perkataan:
1. Madat
1. candu yg belum dimasak; minum ~ 2. segala jenis dadah (spt ganja, morfin, heroin, candu, dsb) yg disalahgunakan oleh penagihnya;
1. perihal menghisap madat; 2. Jk biasa melakukan sesuatu yg tidak sopan (kurang baik dll);pemadat orang yg biasa (ketagih) menghisap madat: orang yg ~ itu semuanya kurus kering.
 Bahan yang mengandungi kandungan kimia yang mengkhayalkan dan merosakkan kesihatan yang menjadi barang dagang di antara China dan orang-orang Eropah di zaman dinasti Manchu.
 2. Ceteria
sl anak raja-raja, kesateria: maka duduklah segala orang kaya-kaya, dan segala ~, sida-sida, bentara hulubalang, masing-masing pd martabatnya.

Hang Tuah sebagai tokoh epik dalam Hikayat Hang Tuah

1. Mempunyai kebolehan berbahasa. Beliau pandai bertutur dalam bahasa Nagaram (hlm 52). Ketika mengadap Kisna Rayan (Raja benua Keling- Bijaya Nagaram), beliau telah bercakap menggunakan bahasa Nagaram. Beliau telah mempelajari bahasa tersebut daripada seorang lebai. Kemampuan beliau ini adalah salah satu ciri penting seorang tokoh epik iaitu bijak menguasai ilmu berbahasa di dunia

2. Mampu mengubati permaisuri raja yang mandul atau tidak mampu meahirkan anak. Tindakan beliau ini adalah di atas permintaan raja melalui Nala Sang guna. Hang Tuah telah membuat satu ubat yang rupanya seperti madat. Setelah siap, ubat berkenaan telah diserahkan kepada Nala Sang Guna untuk diserahkan kepada raja. Kebolehan mengubati permaisuri raja benua Keling ini telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai kebolehan yang istimewa.

3. Tangkas menunggang kuda. Hang Tuah telah diminta supaya menunggang kuda teji. Kuda teji adalah salah seekor kuda Kisna Rayan yang sukar dikendalikan. Setelah Hang Tuah belajar menunggang kuda, beliau telah berjaya memacu kuda tersebut dengan selamat iaitu dengan cara tunduk dan melindungkan kepalanya dibalik telinga kuda tersebut. Kebolehan ini adalah salah satu bukti keperwiraan beliau ketika berada di benua Keling.

4. Mampu menyelesaikan masalah dengan kebolehan akal fikirannya. Apabila hendak memasak untuk jamuan diraja, terdapat masalah ketiadaan kayu untuk memasak. Hang Tuah telah berjaya menyelesaikan masalah ketiadaan kayu dengan menjadikan kain sebagai bahan api. Kebijaksanaan Hang Tuah ini adalah salah satu bukti beliau layak digelar wira.

5. Mempunyai kebolehan yang luar biasa. Hang Tuah telah menunjukkan sesuatu pertunjukan yang dianggap permainan. Beliau telah mengeluarkan suatu benih pokok kayu. Apabila benih itu ditanam terus tumbuh serta berdaun dan sesaat itu juga berbunga lalu berputik dan berbuah masak. Beliau telah memperolehi benih itu melalui mimpi. Apabila sudah dimakan buahnya, dengan segera pohon itupun ghaib. Kebolehan Hang Tuah yang luar biasa ini merupakan satu lagi bukti bahawa beliau layak digelar wira epik.

6. Mampu memperdaya dan melihat Maharaja China. Ketika rombongan Hang Tuah ke negeri China hendak dijamu makan, beliau telah menyatakan bahawa orang Keling  makan sayur, daun kayu dan buah kayu. Sayur yang hendak dimakan itu pula tidak dikerat dan dibiarkan panjang-panjang. Ketika makan, Hang Tuah telah mendongakkan kepala ketika makan sayur kangkung yang tidak dikerat itu. Pada masa itulah beliau dapat melihat Raja China yang duduk dalam mulut naga emas bersisik. Tatkala Laksamana memandang ke atas, HangTuah hendak dipenggal oleh hulubalang Raja China. Namun Raja China telah menghalang tindakan rakyatnya kerana Hang Tuah sebenarnya telah bertindak bijaksana.

HIKAYAT PELANDUK JENAKA (syeikh alam di rimba / syeikh alam berlawan dengan raksaksa )

Sinopsis
Tuan Syeikh Alam di Rimba telah bertitah bahawa ada suatu bahaya akan menimpa masyarakat binatang yang tinggal di hutan. Kemudian msayarakat binatang berkenaan telah pergi ke sungai  Tinam untuk menangkap ikan yang banyak di sana. Namun di sungai berkenaan terdapat seorang raksasa yang menjadi penunggu tempat itu. Sang Beruang, Sang Seladang, Sang Harimau dan Sang Badak tidak berjaya menjaga ikan hasil tangkapan mereka lantaran ancaman raksasa tersebut. Malah Badak yang sudah tewas itu menipu rakan-rakannya dengan mengatakan dirinya cedera kerana berlawan dengan raksasa. Sebenarnya luka di badan Badak itu kerana tercangkuk onak dan duri ketika berlari menyelamatkan diri daripada Raksasa.
Kemudaian masyarakat binatang pun meminta pertolongan daripada Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam di Rimba). Pelanduk Jenaka meminta tempoh tujuh hari baru beliau hendak berangkat untuk melawan Raksasa. Setelah genap tujuh hari Pelanduk Jenaka pun pergi ke tampat Raksasa. Pelanduk Jenaka mengajak masyarakat binatang menangkap ikan sebanyak yang boleh. Pelanduk jenaka pula membuat simpai yang diperbuat daripada rotan. Pelanduk telah mengarahkan rakan binatang yang lain menyembunyikan diri sementara Pelanduk pula menunggu ikan yang sedang dimasak. Apabila Raksasa datang, Pelanduk pun berbuat helah dan menipu Raksasa menggunakan simpai yang kononnya boleh mengubat masalah sakit-sakit di badan. Akhirnya Raksasa terperangkap dengan simpai (diperbuat daripada rotan) yang dipasang dibadannya. Badan Raksasa terguling ke tanah. Pelanduk pun mengambil kesempatan mencakar mata Raksasa tersebut sehingga buta. Raksasa telah menjerit kesakitan dan jeritan berkenaan telah menyebabkan seluruh masyarakat rimba terkejut. Setelah Raksasa dapat dikalahkan, maka amanlah seluruh penduduk rimba dan dapat bermain-main di sungai Tinam.

Mengenalpasti jenis dan ciri-ciri prosa tradisional.
Hikayat Pelanduk Jenaka adalah sebahagian daripada cerita binatang. Cerita binatang adalah sebahagian daripada cerita rakyat. Cerita rakyat pula adalah sebahagian daripada sastera rakyat.

Cerita rakyat merupakan satu bentuk cerita yang popular di kalangan rakyat, yang menjadi hiburan penting di masyarakat berkenaan.Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagi jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita pengalaman.Cerita rakyat juga sebagai ekspresi budaya suatu masyarakat melalui bahasa tutur yang berhubung langsung dengan berbagai aspek budaya, seperti agama dan kepercayaan, undang-undang, kegiatan ekonomi, sistem kekeluargaan, dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut.prosa 

Pemikiran
Kehidupan masyarakat rimba yang sedang menghadapi masalah seperti manusia biasa. Kegiatan mencari rezki meraka telah terhalang lantaran adanya ancaman raksasa. Mereka telah berusaha menyelesaikan masalah tersebut namun usaha mereka gagal. Akhirnnya mereka terpaksa memohon pertolongan daripada golongan bijak pandai dan pakar strategi. Pelanduk Jenaka merupakan pihak yang menjadi penyelamat atau penyelesai masalah.

Pengajaran
- Perlu berwaspada
- Perlu berusaha menyelesaikan masalah
-Jangan takbur
-Jangan menipu
-Bantulah rakan yang memerlukan pertolongan.
-Gunakan akal sebaiknya ketika bertindak.
-Perlu bijak merancang strategi (kaedah penyelesaian masalah).




Persamaan kehidupan manusia dengan kehidupan masyarakat binatang dalam Hikayat Pelanduk Jenaka.

1. Terdapat golongan manusia yang bersikap takbur atau bercakap besar. Sang Beruang sangat takbur dan mengatakan bahawa dirinya mampu mengalahkan raksasa dengan mudah. Hakikatnya Sang Beruang tidak berkemampuan untuk mengalahkan raksasa secara fizikal. Akhirnya beliau tewas dan mengaku kalah.

2. Sebahagian daripada manusia bersikap tidak jujur kepada diri sendiri dan rakan. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan sikap badak yang telah mengalami kecederaan. Badak menyatakan bahawa kecederaan yang telah berlaku ke atasnya adalah disebabkan berlawan dengan raksasa. Hal tersebut sebenarnya tidak berlaku sama sekali. 
3. Manusia kadangkala bertindak dengan cara yang salah. Mereka tidak menggunakan kelebihan akal yang ada pada diri mereka. Sebaliknya mereka hanya menggunakan kekuatan fizikal semata-mata. Akibat tidak bertindak dengan betul, manusia akan mengalami kegagalan dalam usaha mereka mengatasi masalah kehidupan. Malah ada di antara mereka bertindak terburu-buru.
4. Manusia perlu berkerjasama sesama ahli masyarakat.

CERPEN - USIA EMAS

Sinopsis
-  Usia emas bukan satu anugerah tetapi satu pinjaman. Usah berbangga kerananya. Hargailah orang tua yang telah menjaga dan mendidik kita. Akhirnya kita perlu menerima hakikat bahawa ajal akan sampai juga akhirnya. Usia emas sememangnya hanya menunggu masa ajal kita akan sampai kerana usia nabi Muhammad hanya sekitar 62 tahun sahaja.
- Cikgu Baharum sudah bersara. Usia emasnya dipanjangkan Allah. Beliau pernah menjadi penulis dan tulisan beliau disiarkan di dalam Warta Malaya (sejenis akhbar  yang popular di tanah Melayu suatu ketika dahulu). Pada masa tuanya beliau memenuhi kehidupan dengan bangun pagi dan bersenam. Digambarkan kisah hidupnya ketika bergelar guru. Beliau bangun pagi dan datang kerja awal. Beliau sentiasa membimbing anak muridnya. Banyak ilmu pengetahuannya kerana banyak membaca. Suka berbincang dalam pelbagai perkara termasuk ekonomi, politik dan sosial.
- Bicara soal hari tua bukan masa untuk mendapat bermacam anugerah. Anugerah sudah tidak releven lagi buat warga tua, lebih-lebih lagi apabila sudah mati. Pemergiannya tidak perlu diratap dan merasa kehilangan kerana tugas manusia sudah tamat pada masa itu. Doakan sahaja untuk simati dengan kebaikan dan pohonkan pengganti yang lebih baik. Orang tua-tua beragama Islam hanya perlukan kasih sayang anak-anak. Jangan jadi seperti di tempat lain yang menghantar orang tua-tua di rumah kebajikan sebagaimana yang berlaku di Jepun. Berilah mereka peluang melanjutkan ibadahnya dan jangan anggap mereka sebagai golongan tidak berguna.
- Akhirnya mendapat khabar cikgu Baharum telah kembali ke Rahmatullah. Semua yang fana ini akan kembali kepada penciptanya. Jangan mengeluh dan meratap. Kita perlu bersabar.

Beberapa catatan dialoog penting berdasarkan cerpen Permata Sastera Melayu
- "Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana umur panjang. Saya bimbang dengan usia    dipinjamkan ini" (hlm. 116)
-"Sentiasa berlindung diri di belakang setiap solat dengan doa jangan sampai umur tua"    (hlm117)

Tema
Cerpen ini bertemakan kemanusiaan. Kehidupan usia tua bukan satu kelebihan tetapi ia hanyalah pinjaman Usia emas bukan masa untuk mendapat  anugerah hidup dan berhibur sebagaimana orang barat. Usia emas perlu dipenuhi dengan aktiviti berfaedah dan beribadat kepada Allah. Warga tua perlu disayangi dan jangan dilupakan.

Persoalan
1- Jangan berbangga dengan baki umur kita.
Umur kita adalah anugerah Allah dan kita menerima anugerah itu dengan syukur. Semakin bertambah umur kita akan semakin mendekati mati. Oleh itu kita tidak boleh berbangga dengan anugerah sementara itu.
2- Anugerah dan penghargaan bukanlah suatu yang istimewa pada hari tua.
3- Penuhi hari tua dengan aktiviti berfaedah.
4- Banyakkan beribadat.
5- Sayangi warga tua.
6- Setiap yang hidup pasti akan mati akhirnya.

PANDANGAN MASYARAKAT.

1. Perbezaan pandangan tentang hari tua. Bagi orang barat, hari tua merupakan masa untuk   bergembira dan berhibur. Bagi penulis, hari tua adalah masa kita untuk melakukan sesuatu yang berfaedah dan melakukan ibadat. Orang barat berpendapat orang yang dipanjangkan usia mempunyai keistimewaan. Mereka perlu diraikan dan diberi anugerah. Bagi penulis, usia tua adalah masa yang dipinjamkan dan perlu bersedia untuk menghadapi kematian.
2. Terdapat juga perbezaan pandangan antara msayarakat timur seperti di Jepun. Bagi masyarakat Jepun, orang tua tidak produktif  dan tidak mampu menyumbang apa-apa. Malah kewujudan mereka merupakan satu beban dan perlu dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Bagi masyarakat kita, orang tua perlu disayangi dan perlu dijaga oleh ahli keluarga dengan baik. 

MELANKOLI DI ATAS RUMPUT- FATIMAH BUSU

Sinopsis
Penulis menggunakan perkataan aku seolah-olah mewakili dirinya. Gambaran "Aku" mungkin sedang berada di atas sebuah tanah perkuburan atau di atas padang datar yang dipenuhi dengan padang rumput. Penulis sedang mengenang dan membayangkan keadaan ibunya di dalam liang lahad. Ibunya sedang tidur aman dan mengharapkan supaya roh ibunya dalam keadaan selamat dan mengharapkan balasan syurga Allah. Lalu disertakan beberapa maksud ayat al-Quran yang menjanjikan balasan baik bagi orang mukmin yang taat kepada Allah serta sanggup berkorban demi anak-anaknya. Sebagai seorang perempuan, beliau telah melalui semua proses kehidupan daripada waktu lahir sehinggalah dewasa membesar seperti orang lain. Melah beliau telah bersekolah sehingga peringkat universiti, bekerja sebagai pensyarah dan kini sudah bersara. Penulis juga memikirkan untung nasibnya sesudah mati. Beliau sering berdoa sebelum waktu beradu seandainya kematian menjelang tiba pada waktu tidurnya. Seterusnya penulis mengucapkan rasa syukur kerana masih dipanjangkan usia sekalipun sudah bersara dan menjadi orang biasa-biasa sahaja tanpa darjat, gelaran dan harta yang banyak. Penulis sudah sedia untuk hidup sendirian dan ditinggalkan anak-anak. Beliau juga merasakan dunia kehidupan yang lalu umpama longgokan sampah sarap.

Pada waktu malam beliau tersedar dari tidur dan seolah-olah sedang berada di satu dunia asing dan terasa semacam beliau sudah mati. Namun apabila diamat-amati, beliau tidak mati tetapi sedang berada di kawasan tanah datar yang dipenuhi dengan rumput-rumput. Di hadapannya ada lautan dan persekitarannya ada tanah tinggi yang juga dipenuhi dengan rumput. Penulis melakukan ibadat daripada tengah malam, subuh, duha hinggalah ke petang. Beliau terus berzikir sambil mengimbau kenangan lalu. Lalu terbayang lukisan alam dihadapannya dan terdapat lautan yang dipenuhi warna merah darah. Terbayang korban umat Islam seluruh dunia di Palastin, Iraq, Afghanistan dan Selatan Thailand. Cerpen ini diakhiri dengan waktu latar waktu senja dan gambaran umat Islam bebas daripada pertumpahan darah dan mencapai kedamaian. 
Maksud perkataan Melankoli bermaksud keadaan murung, sedih dan hiba.
Perwatakan "Aku"
Latarbelakang "Aku" dalam cerpen ini menunjukkan bahawa beliau seorang perempuan yang hidup bersendirian. Beliau pernah berkahwin dan mempunyai anak. "Aku" adalah seorang bekas pensyarah dan telah bersara. Seorang yang kuat beribadat dan sentiasa memikirkan masalah umat manusia di seluruh dunia terutamanya umat Islam.


LATAR BELAKANG PANDAI PAK PANDIR

Seloka diatas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi berlaku kejam dengan perlakuannya memijak binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakkan kesihatan dan harya benda.

Kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau iaitu Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing ( mendengar gelagat dagang, tak sedar bertelanjang ). Hari ini digambarkan melalui peribahasa guruh dilangit. Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik. Hal ini menjelaskan melalui ungkapan mulut kena suap. Buntut kena cangkuk anak, dan gunting makan di hujung.

Pak Pandir juga menanggung apa didengar gelagat dagang. Gelagak rambutan jantan. Orang berbunga, dia berbunga. Orang berbuah, dia haram. Kilat memakan hujung tak laku Awak juga berkecundangan.

PETIKAN ASAL

 Anak dipijak dagang dijinjing,                        
 Kucing dibunuh tikus dibela.  
 Harta habis badan tergadai,
 Mendengar gelagak dagang,
 Tak sedar bertelanjang.

 Mendengar guruh di langit,
 Air di tempayan dicurahkan.

 Mulut kena suap pisang,
 Buntut kena cangkuk onak,
 Gunting makan dihujung,
 Pak Pandir juga yang menanggung.
  
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram.

Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga berkecundangan.

MAKSUD

Pak Pandir melebihkan orang lain daripada       anak sendiri.
- Dia tidak dapat membezakan antara musuh dan rakan.

- Semua harta miliknya tergadai kerana mempercayai cakap orang asing
- Pak Pandir telah hilang segala-galanya.

 - Akibat percaya akan orang lain, Pak Pandir membuang semua rezeki yang ada dan mengharapkan sesuatu yang belum pasti.

- Pak Pandir ditipu dalam diam tanpa desedarinya. Pak Pandir menanggung segala kesusahan sendirian,

-Sikap Pak Pandir yang tidak berpendirian teguh yang mudah terikut-ikut atau terpengaruh dengan cara orang lain tetapi tidak mendatangkan sebarang hasil.

-Sesuatu yang digembar-gembarkan belum pasti berlaku malah diri sendiri yang terpaksa menanggung akibatnya.


Tema

  • Sindiran terhadap sikap sesetengah manusia yang mudah mempercayai orang lain.

Persoalan
  1. Persoalan sikap mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri.
  2. Persoalan sikap tamak akan merugikan diri.
  3. Persoalan tidak mahu berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara.
Gaya Bahasa

Peribahasa : - Mendengar guruh dilangit,
                      - Air di tempayan dicurahkan,
                 - Gunting makan di hujung

Perulangan : Anafora = orang
                    Responsi = kena

Paradoks : Anak dipijak dagang dijinjing,
             kucing dibunuh tikus dibela.

Pengajaran

  1. Kita perlu berfikir sebelum membuat sebarang keputusan
  2. Kita tidak seharusnya mudah mempercayai seseorang yang baru dikenali
  3. Kita tidak sewajarnya mempercayai khabar angin
  4. Kita perlu bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan

Sunday, July 13, 2014

CONTOH RANGKA DAN CONTOH MENJAWAB SOALAN ( DASAR 1 MURID 1 SUKAN )

Soalan Contoh
Program 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak memberikan manfaat kepada murid. 
Huraikan manfaat tersebut kepada murid.

Rangka Karangan
Pendahuluan
- Program 1Murid 1Sukan - pembangunan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar   penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah
Isi
i. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah - mengelakkan gejala negatif
ii. Murid yang menceburkan diri secara serius dalam bidang sukan dapat mengharumkan nama sekolah dan negara
iii. Mewujudkan budaya yang sihat - suka bersukan untuk kesihatan
iv. Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan - setiap murid berpeluang
v. Memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum
Penutup
- Program ini banyak manfaatnya - perlu disokong oleh semua pihak  


Karangan Contoh
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadiserampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar  penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan di bawah ini. 

Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah aktiviti sukan tersebut dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah.Selain itu, dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan, mereka dapat mengelakkan gejala negatif daripada mempengaruhi mereka. Hal ini demikian kerana, kebanyakan murid yang terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat selalunya dikaitkan dengan tindakan mereka yang suka membuang masa dengan sia-sia tanpa melakukan sesuatu aktiviti yang bermanfaat kepada mereka.

Dasar ini membolehkan murid yang menceburkan diri secara serius dalam                                 bidang sukan itu, dapat mengharumkan nama sekolah dan negara.  Mereka dapat menyumbangkan bakat dan kemahiran mereka untuk mewakili sekolah dalam acara-acara tertentu dalam bidang sukan ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sebagai contohnya, mereka boleh menjadi pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka dapat menunjukkan bakat mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara.  

Manfaat lain program ini dapat mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan murid sekolah. Seterusnya, murid-murid yang sihat ini menjadikan mereka cerdas dalam pelajaran. Perkara ini akan turut menyuburkan budaya suka bersukan untuk kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Dengan badan yang sihat, murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Hal ini demikian kerana, otak yang cerdas itu ada pada badan yang sihat.

Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan murid dalam sukan. Hal ini demikian kerana, setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang tidak berpeluang atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan yang diminatinya. Jadi, pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada dan mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan dengan sukan.  

Melalui dasar ini, usaha kerajaan untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum akan menjadi lebih mudah. Dengan melibatkan diri dalam sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan mempelajari dan menghayati semangat kesukaan semasa dalam permainan. Selain itu, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum. Seterusnya, perkara ini akan membantu kerajaan untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini.

Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu dalam sistem pendidikan yang banyak manfaatnya. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni kerajaan ini. Sekiranya usaha ini tidak digerakkan dengan betul dan sempurna, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama dalam hal ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap lebih banyak ahli sukan yang bertaraf  dunia akan dilahirkan pada masa akan datang.